Isabella menjadi salah seorang peserta yang cukup besar minatnya di dalam perbincangan teologi itu. Selama perbincangan itu berlangsung, fikirannya menjadi penuh dengan perkara-perkara yang dibincangkan. Dia sudah tidak menghiraukan lagi segala aktiviti yang lain. Semua janji dibatalkannya, masalah-masalah sosial yang mengusutkan ditolak ke tepi. Setiap kali para paderi itu tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi, Isabella membuat kesimpulan sendiri bahwa mereka memang tidak mempunyai jawaban dan kepercayaannya terhadap agama Kristian pun mulai goyah sedikit demi sedikit. Dalam ingatannya, terbayang dengan jelas peristiwa yang berlaku di rumahnya ketika bapanya berhadapan dengan Umar Lahmi. Umar Lahmi bersama dengan beberapa orang sahabatnya telah datang ke rumah ketua paderi sesuai dengan perjanjian mereka waktu pertemuan di gereja besar. Paderi-paderi yang lain dan beberapa orang kenamaan dalam kalangan penganut Kristian juga ikut diundang. Ketibaan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya pada pagi itu telah disambut dengan penuh hormat. Mereka ditempatkan di sebuah bilik yang berasingan dan dijamu dengan minuman serta kuih-muih yang lazat citarasanya. Sebuah ruang telah disiapkan untuk perbincangan yang penting itu. Umar Lahmi dengan beberapa orang pengiringnya duduk berhadapan dengan empat puluh orang cendekiawan Kristian yang hebat-hebat. Isabella dengan teman-temannya serta beberapa orang wanita lain duduk di bilik sebelah. Setelah semua duduk dengan selesa, ketua paderi berkata kepada Umar Lahmi, "Saya sudah tahu akan pertanyaan yang tuan mahu kemukakan teapi saya tidak mahu berbicara secara terperinci dan memanjangkan perbincangan ini. Saya cuma akan bercakap sepatah dua saja yang boleh mencapai tujuannya dalam beberapa minit. Apa yang saya maksudkan ialah Islam dan Kristian akan diuji tentang ajaran-ajaran dasarnya dan agama yang dapat memperlihatkan ajaran-ajaran yang terbaik, itulah agama yang benar. Bukankah begitu?" "Saya tidak ada bantahan apa-apa dan saya bersedia untuk membincangkan tiap-tiap garis yang tuan pilih," kata Umar Lahmi, "memang benar hanya melalui ajaran sajalah Kristian dan Islam itu dapat diketahui benar atau palsunya." "Bagus, bagus!" ujar ketua paderi dengan suara gembira. "Sudah tentu pertolongan Roh Kudus berada di pihak tuan dan tuan segera akan dipimpin keluar dari lorong yang salah masuk ke lorong yang benar. Nah, sekarang tuan telah bersetuju dengan garis yang saya cadangkan, saya ingin menyatakan bahwa dalam tiap-tiap agama ada dasar-dasar prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Saya mahu meletakkan di hadapan tuan inti dasar agama Kristian yang tidak lebih dari sepatah perkataan dan sebagai balasannya tuan juga mesti memberikan inti dasar agama tuan dengan sepatah perkataan juga. Tuan bersetuju?" "Silakan! Saya bersetuju saja dengan cadangan tuan." jawab Umar Lahmi. Ketua paderi itu berpaling kepada paderi-paderi lain dan berkata, "Cuba lihat! Beginilah caranya berbincang cuma dengan sepatah perkataan saja isu dapat diputuskan." Kemudian dia menoleh semula kepada Umar Lahmi, "Nah, sekarang dengar baik-baik. Inti dasar agama Kristian ialah kasih. Dengan sepatah perkataan ini saja agama Kristian telah disingkatkan. Sekarang giliran tuan pula memberikan inti dasar agama Islam dengan sepatah perkataan juga." "Saya merasa bangga untuk menyatakan bahwa Islam telah meringkaskan inti dasar ajarannya dengan satu perkataan saja yang meliputi semua dasar prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Akar prinsip Islam dan ajarannya ialah Tauhid." kata Umar Lahmi. "Kalau inti dasar Islam itu tauhid maka kasih tidak termasuk ke dalamnya. Selain daripada itu, kami juga mengatakan tauhid* sebagai inti agama kami." ujar ketua paderi itu. * dalam terjemahan 'Tauhid' disebut 'unity'. Erti tauhid ialah kesaksian akan keesaan Allah. "Kalau tauhid menjadi inti dasar agama tuan, tuan harus mengetengahkannya. Kenapa pula tuan katakan kasih sebagai dasar agama tuan? Dan amat salah mengatakan dengan menerima tauhid sebagai inti dasar agama kasih terkeluar daripadanya. Sebaliknya menurut kenyataan bahwa kasih itu datang dari tauhid. Kalau tauhid tidak diambil dengan segala aspeknya maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Untuk menerima kasih sebagai inti dasar agama bererti penolakan total terhadap tauhid atau menidakkannya sebagai inti dasar agama." jawab Umar Lahmi. Ketua paderi itu menyambut jawaban Umar Lahmi itu dengan mengatakan, "Pokoknya ialah tauhid itu datang dari kasih dan bukan kasih dari tauhid." "Itu suatu logika yang salah. Kalau tauhid datang dari kasih maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Kerana tanpa tauhid, yakni kesaksian akan keesaan. Allah akan menidakkan kasih akan Allah yang sebenarnya kerana kasihkan Allah bergantung kepada ilmu tentang ketuhanan, dan ketauhidan merupakan pengakuan yang hakiki akan Allah. Dengan hanya kasih saja belum lagi menjadi bukti kasihkan Allah." Umar Lahmi menghujah kata-kata paderi tua itu. "Tuan telah memulakan perbincangan panjang. Apa yang saya maksudkan ialah kasih tidak ada tempat dalam Islam." ujar ketua paderi itu. "Kalau kasih tidak ada tempat di dalam Islam," sahut Umar Lahmi dengan cepat, "maka bererti bahwa kasih tidak wujud sama sekali di dalam dunia ini. Walau bagaimanapun benarnya kata-kata tuan itu tetapi tidak ada sedikit juga kesan-kesan kasih dalam agama Kristian. Kasih cuma permainan bibir. Tidak ada ukuran dan tidak ada bukti." Ketua paderi itu mula meradang. Air mukanya berubah. "Begini! Sudah menjadi cogankata yang terkenal di dalam kitab kami bahwa Tuhan ialah kasih. Bukankah ini bukti tentang kasih itu?" "Cuma pengakuan mulut saja," kata Umar Lahmi, "kecuali ada ukuran kasih itu. Teori kasih yang dikatakan itu tidak dapat diterima." "Kini tuan membuat definisi tentang kasih pula. Bukankah dalam kitab kami ada disebutkan Tuhan bapa? Bukankah bapa itu mengasihi anak-anaknya?" Umar Lahmi juga sudah mula gusar. Lalu dijawabnya, "Pokoknya, hanya dengan berulang-ulang menyebut perkataan kasih saja kita tidak akan sampai ke mana-mana kecuali semua syaratnya dipenuhi. Jikalau seseorang itu mengasihi seseorang lain maka dia harus membuktikan dengan pengorbanan diri dan hartabendanya dan barulah dapat dikatakan kasih yang sejati. Oleh sebab itulah Islam telah menentukan ketaatan dan amalan sebagai kriteria kasih yang dengan lain perkataan disebut pengorbanan diri dan hartabenda. Dalam AlQuran Allah berfirman kepada Nabi Muhammad "Katakanlah jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah akan daku agar kamu dikasihi oleh Allah dan diampuni dosa-dosamu; dan Allah Maha Pengampun lagi sentiasa mencurahkan rahmatNya. Katakanlah! Taatlah akan Allah dan RasulNya. Jika mereka tetap berpaling maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir*. Ayat ini telah memberikan ketentuan tentang ukuran kasih yang membezakan antara kasih sejati dengan kasih palsu. Tetapi di dalam agama tuan tidak ada kriteria kasih ini. Sesiapa saja yang munafik boleh bangun berdiri dan berkata dia kasihkan Allah." * AlQuran, surat Al-Imran : 32-32 "Tuan mulai lagi perbahasan yang panjang. Saya mahu segala sesuatu itu meliputi banyak hal supaya keputusan dapat dicapai segera. Bagaimanapun, jikalau Quran tuan juga ada menyebut Tuhan bapa maka mana satu tingkat kasih yang paling tinggi?" ketua paderi bertanya. "Kalau AlQuran menggunakan perkataan bapa untuk Tuhan maka itulah bukti yang paling besar akan ketidaksempurnaannya. Islam tidak pernah menggunakan perkataan yang mengelirukan ini untuk Tuhan tetapi sebaliknya ia ada menggunakan perkataan-perkataan yang lebih agung ertinya dibandingkan dengan perkataan bapa." jawab Umar Lahmi. "Mulut tuan terlalu lancang mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan." Nada suara ketua paderi agak meninggi kerana dipengaruhi oleh perasaan marah. "Cuba beritahu saya cepat apa perkataan yang digunakan oleh orang Islam sebagai ganti yang lebih baik daripada perkataan bapa?" Melihat kemarahan ketua paderi itu, Umar Lahmi dengan tenang berkata, "Tidak ada sebab untuk naik darah. Saya mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan kerana ia menjadi dasar tugas sekutu Allah. Tuan juga percaya kepada ketuhanan Kristus. Tentang perkataan yang lebih baik sebagai ganti perkataan bapa kami orang Muslim menggunakan perkataan Rab yang secara tidak langsung menyatakan ia zat yang memelihara kita dari awal sampai akhir dan pemeliharaanNya tidak pernah terhenti. Jadi dengan menggunakan perkataan Rab, Islam telah mengajarkan bahwa pemeliharaan kasih Allah terus menerus ada. Tetapi konsep bapa membawa makna bahwa bapa itu akan mengasuh anaknya sampai kepada satu waktu yang tertentu saja setelah itu dia tidak ambil peduli lagi. Selain daripada itu seorang bapa hanya dapat memelihara anak-anaknya dalam perkara-perkara opsional saja tidak dalam perkara-perkara di luar dari keupayaannya. Sebagai contoh kalau anak itu jatuh sakit, bapa tidak dapat menyembuhkan penyakit itu sementara orang di dalam pemeliharaan Allah adalah sebaliknya kerana Dia mempunyai kuasa atas segala sesuatu dan Maha Berkuasa. PemeliharaanNya kekal abadi. Ini membuktikan bahwa perkataan pemeliharaan adalah lebih sesuai dengan martabat Allah daripada perkataan bapa. Lagi pula perkataan pemeliharaan menunjukkan 'Keesaan Allah' sementara perkataan bapa pula menjadi punca menugaskan seorang sebagai sekutu kepada Allah di dalam dunia." Ketua paderi itu kelihatan gelisah mendengar hujah Umar Lahmi tetapi dia cuba juga untuk menjawabnya dengan berkata, "Pengaruh pemeliharaan yang tuan katakan itu tidak dapat dibuktikan di dunia ini. Tuan tidak boleh menutup mata terhadap kasih bapa. Jadi, bagaimana orang dapat menerima perkataan yang tidak ada erti dan tidak ada bukti di dunia ini. Tuan tidak boleh menolak pengaruh kasih bapa." "Malang sekali kepercayaan tuan kepada penebusan dosa telah menutupi pemandangan tuan, kalau tidak tentulah tuan tidak akan berkata serupa itu." kata Umar Lahmi. "Tiap-tiap hari kita melihat anak kecil dipelihara dalam rahim ibunya. Kanak-kanak, orang remaja, orang dewasa terus menerus dipelihara. Pemerliharaan itu berterusan dari awal sampai akhir. Bukankah itu pekerjaan Rab yang kita saksikan setiap hari?" "Kitab Suci Injil mengatakan bahwa Tuhan mempunyai kasih yang sedemikian rupa terhadap manusia di dunia ini sehingga Dia mengorbankan putera satu-satunya untuk menyelamatkan manusia. Apakah lagi bukti yang lebih baik tentang kasih bapa yang telah mengorbankan anak yang dikasihinya kerana kasih?" kata ketua paderi. "Keterangan dari Injil itu sendiri telah membantah dakwaan tuan. Tuan maksudkan bahwa bapa itulah yang mengorbankan anaknya yang suci bersih demi manusia yang kotor dan penuh dosa," kata Umar Lahmi, "itulah pernyataan kasih bapa yang ditunjukkan dengan membunuh anaknya yang tidak bersalah? Tetapi Rab tetap berlaku adil kepada sesiapa saja. Sebaliknya Dia menghukum orang yang zalim. AlQuran dalam surat Al-An'am ayat 164 mengatakan 'Dan tiada seseorang yang berdosa memikul dosa orang lain'. Tetapi bapa tuan membunuh anak sendiri. Jikalau menyalib dan membunuh anak sendiri yang tidak berslaah dan tidak berdosa dikatakan kasih, maka kita tidak akan menyebutnya lagi sebagai kasih." Ketua paderi berpaling kepada paderi-paderi lain sambil berkata, "Saya fikir orang ini cenderung kepada Jesus Kristus tetapi rupanya dia seorang pemungkar yang gigih. Semua yang telah saya katakan ialah perkara-perkara tinggi tetapi bagaimana orang-orang ini dapat memahaminya?" Kemudian dia memandang Umar Lahmi, "Hati tuan sudah tertutup. Kristus tidak bersedia menerima tuan. Sekarang baiklah tuan pergi jauh dari sini. saya tidak mahu lagi berurusan dengan tuan. Tuan kemari hanya menggusarkan saya saja." Kemudian dia berkata kepada paderi-paderi yang lain. "Kalian juga jangan lagi berurusan dengan orang-orang ini. Kalian sudah melihat betapa mereka sangat keras kepala. Tidak dapat menyetujui apa pun juga." "Tapi tuan ..." Umar Lahmi mahu membantah. "Tutup mulut tuan." Ketua paderi membentak. "Saya sudah tahu akan tujuan tuan datang ke mari dan tentang apa yang tuan mahu berbincang dengan kami." Sambil mengucapkan kata-kata itu, ketua paderi memperlihatkan tatakrama Kristian. Dia terus bangun dan meninggalkan tamu-tamunya lalu naik ke bilik di tingkat atas. Melihat keangkuhan ketua paderi itu, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu bangun dan dengan suara kuat berkata, "Nasrum-min-a-Allahi wa fat-hunqarib*" * pertolongan dari Allah dan kemenangan yang sudah dekat - surat Ash-Shaf :13 Mereka semua lalu keluar meninggalkan rumah ketua paderi sambil terus mengucapkan kata-kata itu berulang-ulang disaksikan oleh paderi-paderi dan hadirin yang lain yang masih belum hilang perasaan terkejut kerana sikap ketua suci mereka yang tiba-tiba saja meninggalkan perbincangan itu. Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu berpisah, menuju ke rumah masing-masing. Pada petang itu, Isabella bertemu semula dengan sahabat-sahabatnya di taman yang selalu mereka kunjungi. Mereka tidak duduk di tempat biasa, khuatir bertemu dengan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya. Mereka berasa malu dengan sikap bapa Isabella yang sangat-sangat mereka hormati. Dalam pertemuan itu mereka bercakap tentang perbahasan yang telah berlaku pada pagi itu. Berbagai-bagai macam komen, pro dan kontra mereka keluarkan. Isabella lebih banyak mendengar. Perasaan dan fikirannya sarat dengan berbagai-bagai macam persoalan. Kepercayaannya kepada agama Kristian mulai mendapat godaan. Daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh Umar Lahmi, dia dapat melihat walaupun belum begitu yakin bahwa agama Kristian hampir menyerupai satu kepura-puraan yang tidak mempunyai dasar atau prinsip. Waktu perbincangan awal dulu, Isabella berpendapat Peter dan Michael serta paderi-paderi yang lain itu tidak begitu dalam ilmunya sehingga mereka tidak dapat mematahkan hujah-hujah Umar Lahmi. Pada masa itu dia yakin dengan sepenuh hati akan bapanya, ketua paderi, dapat dengan mudah mengalahkan orang-orang Muslim itu kerana bapanya terkenal sebagai seorang yang alim dalam selok-belok agama Kristian. Kalau orang-orang seperti Michael dan Peter tidak dapat menundukkan Umar Lahmi, bapanya sudah tentu dalam waktu yang singkat dapat menutup mulutnya. Tetapi setelah mendengar perbincangan pada pagi itu maka dia sungguh amat kecewa terhadap bapanya. Kekecewaannya itu menjadi makin pedih apabila bapanya mengusir orang-orang Muslim itu pulang dan dengan angkuh meninggalkan majlis dan para tamu. Daripada kejadian itu terfikir olehnya bahwa dasar agama Kristian tidak lebih daripada semacam sarang labah-labah. Sahabat-sahabat Isabella merasa gundah dengan sikapnya yang tidak banyak bercakap dan ketawa seperti biasa. Dia lebih banyak tenggelam dalam fikirannya sendiri tetapi mereka tidak berani bertanya. Mereka membiarkan dia terus dalam keadaan begitu dengan sangkaan akan berubah apabila peristiwa pagi itu dapat dilupakan. Sedikit demi sedikit, Isabella mulai renggang daripada sahabat-sahabatnya. Dia kini lebih banyak menyendiri dan menumpukan perhatiannya kepada mempelajari isi Kitab Inji dan AlQuran. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itu mempunyai unsur-unsur kebenaran yang banyak dan yang mana pula berisi dengan khurafat. Dia mengukur perbandingan itu dengan menumpukan fikirannya kepada masalah-masalah tauhid, kerasulan, Kitab Suci AlQuran, salam, penebusan dosa, pengantaraan, erti dosa, tindakan manusia dan akibatnya. Sudah sebulan masa berlalu dari tarikh pertemuan antara bapa Isabella dengan Umar Lahmi. Dalam masa itu Isabella secara bersembunyi telah beberapa kali menemui Umar Lahmi untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut tentang masalah-masalah yang dihadapinya ketika membuat kajian perbandingan antara Islam dan Kristian. Isabella sudah mulai menundukkan kepalanya kepada Islam dan dia bukan lagi penganut Kristian yang taat. Tetapi untuk menukar agama merupakan satu masalah besar baginya. Fikirannya terganggu apabila datang keinginan untuk meninggalkan agama yang telah dianutinya sejak dia lahir ke dunia ini. Betapa besar cubaan dan godaan yang harus dihadapinya jika dia menyeberang ke agama Islam. Bapa, ibu, saudara-saudara perempuan dan kaum kerabat terpaksa ditinggalkannya dan betapa pula keadaan hidupnya di hari depan. Pada masa itu terlintas fikiran lain di kepalanya, cubaan dan godaan harus dihadapi di dalam mencapai jalan kebenaran dan setelah mengenali kebenaran, tentulah dia akan hina di hadapan Allah kalau dia tidak berterus-terang mengakuiNya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment