Kisah Salah Bantal Dan Bangau Oh Bangau

   
Monday 19 November 2007

Hari ini saya sangat pening kepala. Rasa macam nak tercabut tengkuk ni dek penangan bantal.
Saya membebel kepada diri sendiri."salah bantal lagi tak habis-habis salah bantal"
Tiba-tiba isteri saya mencelah "Abang bukan salah bantal bang tapi salah abang kot".
"Bantal tetap macam tu juga takder salah atau betul yer. Dah memang macam tu sejak dari beli.
kalau tak ok kita buang saja, ini ok lagi dan boleh digunakan."Isteri saya mula bersyarah.
Saya tersenyum sendiri. Memang salah saya pun, silap letak kedudukan bantal dengan betul.

Begitulah manusia sering sahaja mencari salah orang lain (termasuk saya pun :) apabila terjadi sesuatu perkara. Bila bercerita berkenaan dengan silap bantal saya teringat pula dengan lagu bangau oh bangau. Lagu yang begitu popular seawal tahun 70-an kalau tidak silap saya. Lirik lagu ini yang antara lain cuba berkias kepada sesetengah orang yang sering menuding jari mencari salah orang lain. Sebenarnya secara tidak sedar apabila kita menuding jari ke arah orang lain. satu jari menuding ke arah orang lain dan 4 jari menuding ke arah kita.

Apabila bercerita tentang topik ini teringat saya juga isu hadiah penyapu yang begitu hangat diperkatakan pada saat ini. Namun saya tidak mahu mengulas panjang isu tersebut. tapi mengharapkan kedua-dua belah pihak mencari jalan penyelesaian terhadap perkara berbangkit. Buang yang keruh ambil yang jernih. Elok rasanya ada yang mahu menjadi ular agar kisah itu akan cepat ditamatkan episodnya seperti lagu bangau oh bangau.

BANGAU OH BANGAU
Bangau oh bangau,
kenapa engkau kurus?
Macam-mana aku tak kurus,
ikan tak mahu timbul.
Ikan tak mahu timbul.
Ikan oh ikan,
kenapa engkau tak timbul?
Macam-mana aku nak timbul,
rumput panjang sangat.
Rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput,
kenapa engkau panjang?
Macam-mana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku.
Kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau,
kenapa tak makan rumput?
Macam-mana aku nak makan,
perut aku sakit.
Perut aku sakit.
Perut oh perut,
kenapa engkau sakit?
Macam-mana aku tak sakit,
makan nasi mentah.
Makan nasi mentah.
Nasi oh nasi,
kenapa engkau mentah?
Macam-mana aku tak mentah,
api tak mahu menyala.
Api tak mahu menyala.
Api oh api,
kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam-mana aku nak menyala,
kayu api basah.
Kayu api basah.
Kayu oh kayu,
kenapa engkau basah?
Macam-mana aku tak basah,
hujan timpa aku.
Hujan timpa aku.
Hujan oh hujan,
kenapa timpa kayu?
Macam-mana aku tak timpa,
katak panggil aku.
Katak panggil aku.
Katak oh katak,
kenapa panggil hujan?
Macam-mana aku tak panggil,
ular nak makan aku.
Ular nak makan aku.
Ular oh ular,
kenapa nak makan katak?
Macam-mana aku tak makan,
memang makanan aku.
Memang makanan aku......

0 comments:

 
Copyright  © 2007 | Design by uniQue             Powered by    Login to Blogger