Kita Wajib Berusaha Tapi Hasilnya Terserah Kepada Allah

   
Wednesday 21 November 2007

"Assalamualaikum Razif". Sapa Khalid kepada kepada kawannya razif.
Namun Razif tidak menyahut. "Assalamualaikum Razif". Khalid cuba bersuara lebih kuat bimbang jika ucapan salam yang diberikan sebelum ini tidak didengari oleh Razif.
"Razif, razif" Panggil khalid sambil menepuk bahu Razif.
"hah, ye ada apa". balas razif antara endah dan tidak.
"Kenapa dengan kau ni, Sudahlah ucapan salam aku tak berjawab, muka pula poyo jer".
"oh, kau khalid, kau ada beri salam tadi yer, Waalaikumsalam, maaflah aku ada masalah besar ni, pening kepala aku memikirkannya, rasa macam nak pecah jer ni".
"Kenapa ni, apa masalahnya".khalid cuba mencungkil masalah rakannya. sekurang-kurangnya beban yang dipikul Razif akan dapat dikurangkan jika menceritakan masalah tersebut kepadanya. "Entahla susah aku nak cakap". Razif membalas lemah.
"Kau tak mulakan memang susah," Khalid cuba membantu
"sekarang tarik nafas panjang-panjang dan cuba tenangkan fikiran kau."
"Baiklah aku cuba buat". Razif mula menampakkan tindakan yang positif.
"Bagaimana kau rasa sekarang,Ok tak?". kata Khalid.
"Hmm, ok sikit kot". Balas Razif sambil tersenyum hambar.

Begitulah lumrah hidup di dunia, ada pasang surutnya. Sedangkan laut lagikan bergelora inikan pula hati manusia. Masalah sentiasa akan melanda, tidak kira tua atau muda, tidak kira miskin atau kaya, tidak kira raja atau hamba, tidak kira bendahara raja atau rakyat biasa, semua pernah menghadapi masalah. hatta orang gila pun ada masalah tersendiri.

Masalah mempunyai banyak pengertian menurut kefahaman dan pendirian masing-masing tapi menurut saya yang serba kekurangan ini, Masalah adalah perkara-perkara yang tidak selari dengan keinginan kita atau bukan kemahuan kita yang terjadi atas kehendak yang Maha Esa.
Apabila terjadi masalah, otak atau perasaan kita akan memberi tindakbalas terhadap perkara tersebut sama ada negatif atau positif dan kesannya bergantung kepada sejauh mana tindakbalas kita terhadap masalah tersebut. Mengapa terjadinya perkara-perkara yang berada diluar kawalan kita setelah kita bertungkus lumus merancang?.Ini Kerana semua hasil yang kita inginkan bergantung di tangan Allah bukan di tangan kita. "Kita wajib merancang tetapi tidak wajib berhasil". Zahirnya syariat menyuruh kita berusaha, beramal, sedangkan hakikat syariat melarang kita bersandar pada amal usaha tersebut, supaya kita tetap bersandar pada kurnia rahmat Allah.

"Kalau begitu tidak perlulah berusaha, serah sahaja pada takdir".Teringat kata-kata seorang hamba Allah apabila saya utarakan kenyataan "Kita Wajib berusaha tapi tidak wajib berhasil mendapatkan apa yang kita inginkan". Satu misalan yang telah saya utarakan kepada hamba Allah tersebut ialah jika Allah memakbulkan keinginan semua manusia, siapa yang hendak jadi nelayan, petani, pemandu teksi, pekerja buruh, penoreh getah dan sebagainya, kerana sudah tentu semua manusia inginkan kerja yang hebat-hebat. Nanti siapa yang hendak tangkap ikan, siapa yang nak menanam sayur dan sebagainya. Niat saya memberi misal ini bukan untuk menyuruh setiap orang malas berusaha. Berusaha memang wajib berusaha sedangkan Allah sendiri berfirman dalam al-quran yang bermaksud:

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum tersebut mengubah nasib diri mereka sendiri".

Maka sangatlah jelas di sini bahawa Allah sendiri mewajibkan manusia mengubah nasib mereka dengan cara dan iktihar yang terbaik.Namun usaha tersebut bukanlah satu kuasa yang mutlak yang dapat menjamin segala keinginan kita tercapai.Kalimah Laa haula wala quwwata ila billahi. tidak ada daya untuk mengelakkan diri dari bahaya kesalahan dan tidak ada kekuatan untuk berbuat amal kebaikan kecuali dengan bantuan pertolongan Allah dan kurnia rahmatNya semata-mata. Sedangkan usaha itu juga adalah dengan keizinannya tanpa keizinannya kita tidak dapat berbuat apa-apa walaupun dengan mengelipkan mata sekalipun.

Dalam kita menghadapi masalah, perkara yang paling penting untuk difahami dan dihayati ialah bagaimana fikiran dan mental kita menghadapinya. Ini kerana Menerima kenyataan terhadap sesuatu masalah itu adalah asas pertama yang perlu dilakukanl. Jika kita sudah dapat menguasai diri maka mudahlah kita berreaksi dengan cara yang terbaik. Terkadang masalah yang kita hadapi bukanlah sebesar mana tetapi reaksi yang diberikan seolah-olah masalahnya sebesar gunung. Itu yang tidak patut dibuat. Kita sepatutnya menjadi sebahagian kepada penyelesai masalah bukan menambahkan masalah.

Masalah utama apabila kita menghadapi sesuatu masalah ialah kita tiada prosedur yang jelas untuk menghadapi masalah. Mungkin kita boleh berbangga dengan pensijilan ISO 9000 dan sebagainya kepada organisasi kita tapi bagaimana dengan diri kita adakah kita sendiri mempunyai prosedur untuk menyelesaikan masalah. Ramai orang boleh menyelesaikan masalah orang lain tapi tidak ramai yang dapat menyelesaikan maasalah sendiri.

Apakah prosedur ringkas yang boleh kita lakukan apabila menghadapi masalah. Perkara pertama yang seperti saya nyatakan sebelum ini iaitu kita perlu menerima kenyataan terhadap masalah tersebut. Katakan kita hendak sangat untuk dapat tempat pertama dalam ujian tapi tiba-tiba dapat tempat ke 10 maka kita kena terima takdir tersebut. Kalau kita menangis siang malam pun keputusan kita tidak berubah. Setelah perasaan dan akal dapat dikuasai maka kena lah muhasabah diri. Apa silap kita semasa kita belajar. Mungkin kita belajar bersendirian maka kurang maklumat yang kita perolehi, mungkin kita kurang berdoa, mungkin kita pernah buat salah kepada ibu bapa dan sebagainya.
Setelah kita muhasabah diri kita kenalah berusaha lagi.Peluang sentiasa ada cuma kita kena pandai mencarinya. Walaupun nasi sudah menjadi bubur kita boleh gunakan bubur untuk jadikannya makanan yang lebih sedap. Letakkan kicap,ayam goreng,bawang goreng,sayur sedikit sudah jadi bubur ayam istimewa. Begitu juga dengan masalah, jadikan masalah atau takdir itu sebagai perangsang untuk kita mendapat takdir yang lebih baik.

Akhirnya. Sama-samalah kita berfikir kembali atau bermuhasabah diri, bagaimanakah kita apabila ditimpa masalah?. Saya teringat kata-kata seorang ulama "hidup ini terasa berat kerana kita terlalu bergantung atau berharap kepada dunia, maka jika engkau ingin aman dan bahagia di dunia bergantunglah terus kepada Allah insya'allah hidupmu akan ringan". Semoga penerangan yang serba ringkas ini mampu memberi idea kepada kita semua bagaimana untuk menghadapi masalah dalam hidup.

Sekian Salam Ukhuwah dari Saya

0 comments:

 
Copyright  © 2007 | Design by uniQue             Powered by    Login to Blogger